PETALING JAYA: Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen mengharapkan anak buahnya, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik tidak terbawa episod kekecewaan tewas di final Terbuka India kelmarin ke Kejohanan Masters Indonesia yang akan membuka tirai hari ini.
Kegagalan itu mungkin sukar ditelan tatkala kemenangan sudah hampir dalam genggaman Aaron dan Wooi Yik untuk meraih kejuaraan pertama mereka dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), namun tewas kepada pasangan China, Liang Weng Kang-Wang Chang dengan keputusan 21-14, 19-21, 18-21.
“Perlawanan hari ini (kelmarin) rasa rugi sikit sebab dah kita sudah mendahului tetapi kalah, jadi saya fikir ini cabaran dan sebahagian daripada proses yang kita perlu hadapi, mereka kena tahu bagaimana hendak mengawal keadaan jika berdepan dengan situasi sebegini.
“Di Terbuka Malaysia, mereka berdua beraksi tidak begitu baik, tetapi mereka berjaya bangkit semula di Terbuka India, satu petanda yang bagus bahawa mereka masih dahagakan kemenangan dan keyakinan tu sudah kembali dalam diri mereka.
“Bagi saya, tahun ini ada banyak kejohanan, boleh dikatakan setiap bulan pun akan ada dan ini adalah sebahagian daripada prosess, mereka perlu kekalkan tumpuan dan keyakinan yang ada ketika ini, kalah atau menang itu perkara kedua, yang penting terus belajar daripada setiap kegagalan.” jelas Bin Shen.
Bagi Bin Shen, Aaron dan Wooi Yik masih berpotensi untuk bergelar juara seandainya mereka berjaya untuk mengatasi beberapa masalah kecil yang sering melanda mereka di dalam gelanggang, antaranya mudah memberikan ruang buat lawan memintas tatkala mendahului perlawanan dengan selesa.
Aaron dan Wooi Yik dijangka berupaya melunaskan kekalahan kelmarin apabila bakal membuat perhitungan semula dengan juara dari China itu di pusingan kedua Masters Indonesia.
“Masalah mereka bila sudah mendahului cepat memberi mata kepada lawan untuk merapatkan kedudukan.
“Mereka juga sering beraksi dengan cara yang selamat dan tergesa-gesa untuk meraih mata. Selepas ini jika mereka sudah mendahului, saya harap mereka lebih yakin dan tenang serta jangan ambil mudah kerana seringkali bila lawan sudah berjaya mengejar dan memintas, mereka pula akan memperlahankan tempo permainan.
“Di Masters Indonesia, mereka perlu segera persiapkan semula pemikiran mereka kerana pemain yang akan ditentang adalah tetap sama, dan berkemungkinan bakal jumpa lagi,” ujarnya.-UTUSAN