KATHMANDU: Pasukan penyelamat yang menyaring serpihan pesawat terhempas di gaung Nepal semalam menemukan data dan perakam suara kokpit serta mayat mangsa ke-69.
Bagaimanapun, punca nahas berhampiran bandar pelancongan Pokhara itu masih dalam siasatan dan usaha mencari tiga penumpang yang hilang masih diteruskan.
Jurucakap Yeti Airlines, Pemba Sherpa turut mengesahkan penemuan perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit.
Manakala pegawai tempatan, Tek Bahadur KC pula berkata kepada AFP, pihaknya kini berdoa agar berlaku keajaiban.
“Tetapi harapan untuk mencari sesiapa yang masih hidup, tiada,” katanya.
Sekurang-kurangnya 41 daripada mangsa sudah dikenal pasti, tetapi pihak berkuasa berkata, banyak lagi mayat dalam bencana penerbangan paling maut di negara itu sejak 1992 tidak dapat dikenali kerana rentung.
Satu pasukan pakar forensik sudah sampai ke Pokhara dari Kathmandu untuk melengkapkan pengenalan diri, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal.
Agensi itu berkata, pihak berkuasa mula memulangkan jenazah kepada keluarga, yang mendesak agar proses itu dipercepatkan supaya mereka boleh mengadakan pengebumian.
Jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Krishna Prasad Bhandari memberitahu agensi berita Xinhua, mayat terbakar sehingga tidak dapat dikenali dan 80 peratus daripada pesawat itu telah musnah akibat kebakaran.
Pada pukul 10.50 pagi waktu tempatan, pesawat jenis ATR 72 yang berlepas dari Kathmandu ke Pokhara itu membawa 57 warga Nepal, lima rakyat India, Russia (lima), Korea Selatan (dua) serta masing-masing seorang warga Argentina, Ireland, Australia dan Perancis.-AGENSI