Kerajaan perlu bukti dua perkara sebelum hadapi PRN

Kerajaan perlu bukti dua perkara sebelum hadapi PRN

RAFIZI Ramli (berdiri, tengah) bersama-sama perwakilan PKR dari Kedah dan Pulau Pinang pada Konvensyen PRN dua negeri itu di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kerajaan Perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan (PH) perlu membuktikan kepada rakyat bahawa kehidupan mereka dan ekonomi akan menjadi lebih baik serta kuasa Melayu tidak terhakis sebelum berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, dua faktor tersebut perlu diberi penekanan kerana ia merupakan sentimen utama yang dimainkan oleh PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau mendakwa, faktor utama PN menang besar pada PRU15 disebabkan sentimen perkauman yang disebarkan secara meluas selain berbelanja mewah sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, sentimen perkauman oleh Pas dan PN menyebabkan peralihan 70 hingga 80 peratus dalam kalangan pengundi Melayu di Kedah, yang tidak dilihat dalam pilihan raya lain sebelum ini.

“Saya rasa geli hati apabila ada yang kata kemenangan PN disebabkan kandungan mereka di TikTok, sebaliknya kemenangan itu disebabkan sentimen perkauman yang dimainkan secara berterusan sejak 2018.

“Selain itu, faktor kedua yang lebih besar dari itu adalah wang, tanyalah di mana-mana Kedah, Pulau Pinang, Terengganu malah di Pandan sendiri memang pengundi-pengundi Melayu datang minta duit minyak untuk balik mengundi.

“Apabila saya berjumpa dengan ahli keluarga di Terengganu mereka akan kata tidak pernah lihat Pas begini mewah dan belanja besar dengan kenduri tidak henti-henti.

“Kalau sebelum ini dua faktor ini menjadi kelebihan kepada PN, Insya-Allah kelebihan itu akan semakin berkurangan dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang,” katanya berucap pada Konvensyen PRN Pulau Pinang dan Kedah, semalam.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau yakin PKR mampu mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak pernah kalah di Kedah iaitu Sidam, Bakar Arang, Bukit Selambau, Lunas dan Kulim. 

Katanya, walaupun risiko untuk kalah tetap ada tetapi lima kerusi itu akan menjadi asas untuk dipertahankan sebelum memenangi kerusi-kerusi lain selepas isu-isu semasa diatasi oleh kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya