KOTA BHARU: Pemain yang dianggap legenda dalam kalangan penyokong Kelantan, Indra Putra Mahayuddin memasang impian untuk bersara di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Indra Putra berkata, dia sangat teruja apabila dapat kembali semula ke bumi Che Siti Wan Kembang yang pernah menjulang namanya dalam arena bola sepak tempatan suatu ketika dahulu.
“Terima kasih kepada pengurusan Kelab Bola Sepak Kelantan United (Kelantan United) yang masih mahukan mendapatkan khidmat saya. secara tidak langsung membuka peluang untuk saya kembali ke negeri ini.
“Kelantan merupakan tempat nama saya menyinar dan semangat kesetiaan penyokong ke-12 membuatkan saya lebih teruja untuk bermain bersama Kelantan United,” katanya.
Indra Putra turut mendedahkan dia tidak pernah menetapkan berapa tempoh masa untuk terus aktif sebagai pemain walaupun telah memasuki kelompok usia di penghujung karier.
Katanya, dia akan terus bermain selagi masih berupaya dan selagi khidmatnya masih tagih oleh kelab-kelab bola sepak tempatan.
“Selagi kita percaya, selagi ada usaha dan selagi masih ada kudrat, saya akan terus aktif. Mungkin setahun atau dua tahun lagi dan mungkin lebih. Kita tengok dulu dan saya sentiasa ingin beraksi.
“Saya juga ingin turunkan ilmu kepada pemain-pemain muda yang ingin belajar dari saya. Diharap mereka kutip sebanyak mungkin ilmu kerana bola sepak merupakan karier yang singkat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Indra Putra turut berhasrat untuk menyumbang sesuatu buat Kelantan United sebelum karier bola sepaknya menemui titik noktah.
“Hasrat untuk bersara di Kelantan masih tinggi tetapi saya berharap dapat memberikan sesuatu buat Kelantan United dan penyokong terlebih dahulu.
“Walaupun mungkin bukan pencapaian tinggi tetapi sekurang-kurangnya apa yang dimahukan oleh pihak pengurusan kelab dapat kita capai,” katanya. -UTUSAN