Impian tunai umrah sebagai rakyat Malaysia tercapai

Impian tunai umrah sebagai rakyat Malaysia tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Impian seorang wanita warga emas untuk menunaikan umrah sebagai warganegara Malaysia akhirnya tercapai apabila dia diberikan taraf kewarganegaraan, hari ini.

Wanita berasal dari Tanjung Pinang, Riau, Indonesia dikenali sebagai Asmawiyah Adlun, 66, berkata, dia akui gembira apabila penantian selama enam tahun bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan akhirnya tercapai.

Lebih bermakna, dia dan suami, Saidi Yahya, 74, telah menempah pakej umrah dan bakal berlepas ke Tanah Suci pada Mei depan bagi ‘meraikan’ rasa gembiranya itu.

“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat ke Tanah Suci sebagai seorang warganegara Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Keputusan Permohonan Kewarganegaraan, di sini hari ini.

Seramai 28 menerima surat keputusan permohonan kewarganegaraan itu hari ini yang diserahkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ia membabitkan 13 penerima di bawah Perkara 15A (Kanak-kanak di bawah umur 21 tahun dalam keadaan khas, sembilan penerima di bawah Perkara 16 (Orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka) dan enam orang penerima di bawah Perkara 19/1) (Naturalisasi).

Dalam pada itu, Asmawiyah berkata, buat masa ini, suaminya belum lagi mendapat taraf warganegara dan difahamkan ia sedang diproses.

Katanya, sebelum ini, dia dan suami pernah memohon beberapa kali bagi mendapat taraf warganegara, namun ditolak kerana masih muda.

Bagaimanapun, katanya, tiga anaknya sudah mendapat taraf warganegara kerana mereka dilahirkan di negara ini dan melepasi tempoh bermastautin ditetapkan.

Tambah Asmawiyah lagi, dia dan suami sudah berada di Malaysia sejak 47 tahun lalu.

Sementara itu, Ker Geok Lan, 78, yang dilahirkan sebelum Hari Merdeka berkata, dia mula memohon pada 2016 mengakui cukup gembira kerana akhirnya memperoleh sijil warganegara.

Katanya, dia dilahirkan di Taiping, Perak, namun, disebabkan tiada sijil kelahiran, dia terpaksa menggunakan kad MyPR iaitu khusus bagi permastautin sementara.

“Saya akui sukar hidup tanpa sijil lahir kerana sukar mendapat pendidikan dan bantuan daripada kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya