PETALING JAYA: Ibu kepada cef terkemuka, Datuk Chef Wan, Noraini Abdullah, 93 menghembuskan nafas terakhir pukul 6.20 pagi tadi selepas menderita kanser tahap empat.
Khabar duka itu disampaikan Chef Wan menerusi sebuah hantaran di Instagram.
“Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan ibu tersayang saya telah meninggal dunia pukul 6.20 pagi tadi dalam tidurnya di Hospital Gleneagles.
“Semoga rohnya bersemadi dengan aman, diampunkan segala dosa serta ditempatkan bersama orang yang beriman kelak.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Putra Putrajaya sekitar pukul 11 pagi untuk dimandi dan disembahyangkan. Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cyber 10 selepas Zuhur nanti. Al-Fatihah,” kongsi Chef Wan.
Dalam perkongsian sama, Chef Wan atau nama sebenarnya, Redzuawan Ismail, 64, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan ibunya sebelum ini.
“Terima kasih tidak terhingga kepada semua ucapan serta doa untuk Allahyarham ibu saya. Alhamdulillah,” tulisnya.
Difahamkan, selain kanser, Allahyarham turut menghidap alzheimer dan dementia.