PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap pengiktirafan di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 mampu menyuntik semangat atlet negara untuk terus berjuang bagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Menerusi pengiktirafan di ASN 2021 kali ini, diharapkan ianya jadi penyuntik semangat atlet negara terus berjuang, menjadi inspirasi dan mencetuskan semangat perpaduan
dalam kalangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Saya masih ingat bagaimana seluruh negara memberi sokongan padu kepada skuad badminton negara, sehingga bergegar seluruh kawasan perumahan, sewaktu Piala Thomas pada tahun 1992 dimana kita berjaya menjadi juara,” katanya.
Hannah juga mengakui kejayaan diraih atlet-atlet negara menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak muda untuk menjadi contoh terbaik.
“Para atlit yang berjaya juga boleh menjadi sumber inspirasi dan ikon atau idola kepada anak-anak muda dan belia kita.
“Latar belakang dan pencapaian atlit yang berjaya boleh dijadikan pedoman dan teladan kepada para belia,” jelasnya.
Tambah Hannah, sepertimana yang telah diamanatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui konsep ‘Malaysia Madani’ semua harus bekerjasama dan berusaha untuk terus mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di
persada dunia.-UTUSAN