BHUBANESWAR: Kurang dua hari sahaja lagi sebelum skuad hoki negara membuka tirai kempen Piala Dunia Hoki 2023 menentang gergasi No.3 dunia, Belanda di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela pada Sabtu ini.
Selepas itu, skuad negara akan bertemu Chile dalam misi wajib menang di Rourkela dua hari kemudian sebelum melengkapkan aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Kalinga, Bhubaneswar menentang New Zealand pada 19 Januari.
Malaysian Tigers mempunyai misi tersendiri pada saingan di Bhubaneswar dan Rourkela, India kali ini dengan harapan memperbaiki pencapaian kedudukan dua tercorot sewaktu edisi 2018.
Realistiknya, skuad negara yang kini jatuh ke ranking 11 dunia, berpotensi untuk melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir walaupun Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyasarkan mara ke pusingan kedua.
Rata-rata pemain juga pernah menyuarakan keyakinan mereka untuk memberikan aksi terbaik untuk meletakkan nama Malaysia dalam kelompok lapan terbaik pada saingan di bumi India itu.
Menariknya, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal mendedahkan, kemahuan tinggi para pemain bukan berfaktorkan ganjaran wang ringgit tetapi mahu dunia menyaksikan sendiri kemampuan skuad kebangsaan.
“Kita bermain dengan semangat negara tercinta, kita tak lakukan kalau setakat main untuk wang ringgit.
“Saya sendiri akan pastikan sekiranya mendapat ganjaran, ia akan digunakan untuk memberikan latihan, jurulatih dan kepakaran sains sukan yang terbaik buat mereka.
“Apa yang penting biar pemain lakukan yang terbaik, lebih daripada kemampuan mereka. Apabila sampai masanya nanti, kita akan fikirkan (ganjaran),” kata Subahan.
Sehubungan itu, Subahan berharap para pemain memperagakan semanga juang yang cukup tinggi dalam diri mereka apabila turun beraksi 60 minit di atas padang nanti.
“Sekarang ia terpulang kepada pemain kerana kita boleh cakap apa sahaja tetapi merekalah yang bermain di atas padang. Saya berharap mereka dapat beraksi pada tahap yang sebenar,” jelasnya.
Atas kertas, skuad bimbingan A. Arul Selvaraj itu dilihat bukan lawan sukar buat Belanda yang pernah mencatat kemenangan besar, 6-2, 6-4 dan 7-0 ke atas Malaysian Tigers dalam tiga pertemuan terakhir.
Namun, ia bukanlah sesuatu yang mustahil buat para pemain mencipta kejutan menewaskan The Oranje walaupun hanya sekali menang dalam 15 pertemuan antara kedua-dua pasukan.
Ketika itu, skuad negara menang 2-1 ke atas Belanda hasil jaringan Datuk Poon Foke Loke dan Datuk Seri N. Sri Shanmuganathan sewaktu edisi 1975 di laman sendiri.
Edisi 1975, adalah penampilan terbaik Malaysia dalam sejarah penganjuran Piala Dunia apabila menamatkan saingan pada kedudukan keempat.-UTUSAN