JOHOR BAHRU: Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berjiwa besar melakukan reformasi dengan menggubal undang-undang supaya peruntukan sama rata diberikan kepada Ahli Parlimen sama ada dari blok kerajaan atau pembangkang.
Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Abdul Karim berkata, langkah itu penting bagi memastikan rakyat mendapat hak mereka dan tidak ada mana-mana pihak dipinggirkan.
Menurutnya, pengundi yang tidak memilih parti-parti mewakili gabungan yang kini membentuk kerajaan Pusat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu tidak seharusnya dihukum atau diabaikan.
“Pertamanya, kita tidak boleh menzalimi rakyat yang telah undi seseorang Ahli Parlimen itu. Rakyat menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi tetapi Ahli Parlimen mereka tidak dapat peruntukan, ini zalim namanya dan kita tidak boleh nafikan hak rakyat.
“Peruntukan kerajaan untuk Ahli Parlimen ada dua kategori. Tidak sampai satu perlima digunakan untuk pengurusan pejabat Parlimen dan selebihnya untuk rakyat.
“Kawasan Parlimen dapat peruntukan lebih RM300 juta setahun, dana ini untuk rakyat dan bukan untuk Ahli Parlimen,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Pentas Utama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Pasir Gudang semalam, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak.
Ahad lalu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa keputusan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sebagai tidak adil.
Menurut bekas Menteri Besar Perlis itu, semua Ahli Parlimen kerajaan sudah mendapat peruntukan, namun hingga kini, tiada peruntukan diterima pembangkang terutamanya negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Mengulas lanjut, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor memberitahu, perkara dibangkitkan Shahidan itu perlu dilihat secara positif dan wajar diberi perhatian kerana mewakili 74 Parlimen pembangkang di seluruh negara.
“Sebanyak 74 Parlimen ini berada di bawah PN, dan itu adalah satu jumlah yang besar. Peruntukan ini antaranya akan membolehkan Ahli Parlimen memberi sumbangan kepada rakyat, bantu orang miskin dan bantu sekolah. Ini juga satu aspek yang dapat melepaskan rakyat daripada miskin tegar.
“Peruntukan sama rata juga akan membuatkan Ahli Parlimen tidak lagi terlalu berpolitik kerana peruntukan berkenaan bukan wang milik Pakatan Harapan (PH) tetapi daripada kerajaan,” katanya sambil berharap kerajaan mengamalkan politik matang, bukannya politik sempit yang hanya akan merugikan rakyat.
Sementara itu, beliau turut berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat memberikan elaun tambahan atau menambah bilangan perumahan kepada lebih 800 pegawai dan anggota polis di IPD Seri Alam.
“Ini kerana IPD Seri Alam mempunyai sembilan balai polis namun hanya memiliki perumahan dengan kapasiti hanya untuk 200 anggota dan pegawai, selebihnya terpaksa menyewa di luar,” katanya. – UTUSAN