KUALA SELANGOR: Perjalanan seorang pemandu lori yang kali pertama menunggang motosikal ke tempat kerjanya bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 45 Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.15 pagi, lelaki berusia 43 tahun yang menunggang Modenas Kriss itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kemalangan itu melibatkan motosikal mangsa dan kereta Toyota Yaris dipandu wanita berusia 26 tahun.
“Ketika kejadian mangsa sedang menuju ke sebuah kilang di Klang manakala wanita yang juga peniaga dalam perjalanan ke Teluk Intan, Perak.
“Setibanya di lokasi, pemandu kereta itu dipercayai gagal mengelak motosikal mangsa yang keluar dari simpang tersebut. Kereta itu kemudian melanggar sisi kanan motosikal hingga menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya hari ini.
Tambah beliau, lelaki itu kebiasaannya memandu kereta dan ia kali pertama menunggang motosikal untuk pergi bekerja.
Jelas Ramli, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Norasyikin Roslan di talian 010-2621743 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN