Abby Amran bangga jadi pilihan Saari Amri - Utusan Malaysia

Abby Amran bangga jadi pilihan Saari Amri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMPIAN Abby Amran untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer terkenal, Saari Amri tercapai apabila berpeluang merakamkan single, Bila Cinta Bersuara.

Abby yang merupakan peminat tegar komposer berkenaan menyifatkan peluang merakamkan lagu tersebut sebagai hadiah paling istimewa daripada anak seni yang amat dikaguminya.

Katanya, dia bersyukur dan berasa sangat bertuah apabila dipilih Saari untuk merakamkan lagu bergenre rock itu.

Abby berkata, dia tidak menyangka, kesungguhan menyanyikan semula lagu ciptaan Saari menarik perhatian komposer itu, sekali gus menghadiahkan sebuah sentuhan baharu untuknya.

“Saya memang minat karya Saari dan sering menyanyikan lagu ciptaannya ketika membuat persembahan.

“Saya juga banyak berkongsi video nyanyian di media sosial, seterusnya dipanjangkan oleh pengikut. Saya tidak menyangka Saari menonton video tersebut.

“Dia menegur dan mengucapkan terima kasih kerana menyanyikan semula lagu ciptaannya. Saya terharu kerana memang meminati karyanya,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Abby, Bila Cinta Bersuara pada asalnya dihasilkan untuk seorang penyanyi Indonesia.

Bagaimanapun, lagu itu akhirnya ditakdirkan menjadi miliknya.

“Ketika lagu itu dibawa Saari ke Indonesia, berlaku perkara yang membuatkan kedua-dua pihak tidak mencapai persefahaman.

Pengurusan artis tersebut membuat keputusan menolak lagu itu.

“Lagu itu bagaimanapun, sempat tular dan dinyanyikan beberapa penyanyi di sana. Namun, Saari tekad membawa semula lagu itu ke Malaysia dan mahu ia dinyanyikan penyanyi tempatan. Saya tidak sangka menjadi piihannya.

“Memang saya bangga, pada masa sama berasa diri kurang layak kerana suara saya tidak sehebat penyanyi lain. Tetapi, Saari tetap mahukan saya merakamkan juga lagu itu,” jelasnya.

Cerita Abby lagi, disebabkan lagu tersebut sempat tular di Indonesia, dia risau sekiranya ada pendengar membandingkan cara nyanyiannya dengan penyanyi dari negara itu.

“Pada awalnya, saya agak risau kerana suara saya tidak sebagus penyanyi lain yang jauh lebih berbakat.

“Tetapi, kepercayaan dan nasihat Saari memberikan saya kekuatan. Dia meminta saya mengabaikan komen negatif dan terus berusaha mempopularkan lagu tersebut.

“Saya yakin boleh menaikkan lagu ini. Cuma, saya perlu berusaha keras dan beri tumpuan penuh untuk mempromosikannya,” ujar Abby.

NYANYIAN SEBAGAI KERJAYA SAMBILAN

Mula menyanyi ketika di bangku sekolah, ibu dua anak ini terus memburu impian untuk menempa nama dalam industri muzik.

Bagaimanapun, Abby memilih untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya sambilan dan tidak berhasrat menceburinya sepenuh masa.

“Saya masih bekerja tetap di sebuah bank dan membuat keputusan untuk menjadi penyanyi sambilan sampai bila-bila.

“Saya tidak mahu terikat dengan mana-mana label atau syarikat rakaman. Sebelum ini, ada syarikat rakaman menawarkan saya bernaung di bawah label mereka.

“Tetapi, terdapat beberapa syarat yang tidak mampu saya penuhi. Jadi, saya memutuskan untuk menjadi penyanyi sambilan dan bergerak sendiri,” katanya.

Kata Abby, dia tidak menyesal dengan keputusan itu kerana baginya, dia beruntung apabila diberi peluang melakukan dua pekerjaan pada satu masa.

“Pihak pengurusan bank sentiasa menyokong minat saya dan selalu menawarkan peluang membuat persembahan pada majlis melibatkan syarikat.

“Saya dapat apa yang saya mahukan iaitu keseimbangan antara kerjaya dan minat dalam bidang nyanyian. Itu nikmat besar yang Tuhan berikan kepada saya,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya