800 pesilat berkampung di Stadium Tertutup Kuching

800 pesilat berkampung di Stadium Tertutup Kuching

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg (dua dari kanan), bersama-sama Presiden Rumpun Silat Sarawak, Haji Muhammad Haneef Ali (dua dari kiri) dan Timbalan Presiden Rumpun Silat Sarawak, Dato’ Haji Mohamad Yusnar bin Haji Matalie memperkenalkan tali pinggang kejuaraan yang akan dirangkul oleh juara keseluruhan serta pingat kejuaraan bagi Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang akan berlangsung pada 27 Februari hingga 5 Mac depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 16 buah negara bakal memeriahkan edisi sulung Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Kuching pada 27 Februari hingga 5 Mac.

Seramai 800 pesilat dijangka bakal menyajikan aksi bertenaga dan memukau para peminat sukan tempur ini bagi merebut hadiah wang tunai bernilai 20,000 dolar (RM87,517) untuk juara keseluruhan.

Menurut  Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Sarawak kini bersedia menjadi penganjur bagi acara silat berkelas dunia selain menerima kehadiran ribuan pencinta sukan itu dari seluruh dunia untuk menyaksikan kejohanan tersebut.

“Sarawak sudah bersedia membuka gelanggang bagi pesilat dari 16 buah negara untuk bertarung, malah persiapan dari segi logistik juga berada pada tahap terbaik menjelang kejuaraan bertaraf premier ini.

“Sambutan edisi sulung ini amat baik apabila negara seperti Indonesia, Singapura, Pakistan, United Kingdom akan turut serta menghangatkan bandar Kuching pada minggu penganjuran,” katanya.

Bagi penganjur Rumpun Silat Sarawak (RSS), penganjuran Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 ini akan menjadi penanda aras dan perintis untuk RSS menganjurkan kejohanan siri silat Sarawak secara tahunan di masa akan datang.

Menurut Timbalan Presiden RSS, Dato’ Mohamad Yusnar Haji Matalie, pihaknya komited untuk memastikan perjalanan kejohanan ini berlangsung dengan baik.

“RSS mahu penganjuran edisi sulung ini dapat dijayakan dengan baik dan cemerlang. Malah, pihak kami tidak mahu menjadikan kejohanan ini sebagai ‘one-off’ sahaja, sebaliknya berhasrat menganjurkan Kejohanan Siri Silat Sarawak sekaligus bakal mencipta sejarah kerana Malaysia belum pernah menganjurkan kejohanan seperti itu,

“Saya juga amat teruja untuk menyambut kehadiran warga silat dunia ke Bumi Kenyalang pada bulan depan. Saya berharap para pesilat dapat mempamerkan aksi berkelas dunia serta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi seiring dengan nilai yang dimiliki oleh seorang pesilat,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya