Empat PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan

Empat PATI Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan

SERAMAI empat PATI warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia di perairan Pulau Pinang semalam selepas didapati mengendalikan bot nelayan tempatan kelas C.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan empat nelayan warga Myanmar selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Tanjung, pukul 10.10 pagi semalam.

Tambahnya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 70.3 kilometer barat laut Muka Head dekat sini.

”Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan empat warga Myanmar termasuk tekong berumur 31 hingga 51 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot.

”Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk kira-kira 500 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung dekat sini sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Tegas beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang terus berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

Sehubungan itu, ujarnya, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya