BHUBANESWAR: Teka-teki mengenai status penganjuran Sukan Asia di Hangzhou, China bermula 23 September hingga 8 Oktober depan akhirnya terjawab.
Ia selepas Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Datuk Tayyab Ikram memberikan jaminan temasya sukan yang menawarkan satu tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 akan berjalan mengikut jadual ditetapkan.
“100 peratus Sukan Asia akan tetap berlangsung dan venue pertandingan juga sudah siap. Kami akan mengadakan pertemuan di China pada Mac nanti, jadi tiada masalah mengenai Sukan Asia.
“Memang benar ada ketikanya kami memikirkan kemungkinan China tidak boleh menjadi hos kepada Sukan Olimpik. Jika berlaku, satu kejohanan lain akan diadakan untuk kelayakan Sukan Olimpik,” kata Tayyab.
Tayyab berkata demikian kepada media-media antarabangsa dalam sidang akhbar khas sempena hari terakhir Piala Dunia Hoki 2023 sebelum perlawanan akhir antara Belgium dan Jerman di Stadium Kalinga kelmarin.
Sukan Asia amat penting buat skuad hoki negara untuk meraih slot automatik ke Paris 2024 sebagai juara Asia sekali gus menamatkan penantian kali terakhir layak ke Olimpik sewaktu edisi Sydney 2000.
Ia langkah paling ‘selamat’ buat Speedy Tigers kerana hanya perlu berdepan seteru-seteru seperti India, Korea Selatan, Pakistan dan Jepun walaupun ia bukanlah satu tugas yang mudah.
Laluan itu juga dilihat tidak berliku tanpa memikirkan Malaysia perlu bertemu jaguh-jaguh Eropah atau Oceania dalam pusingan kelayakan Olimpik seterusnya jika gagal memenangi pingat emas Sukan Asia. -UTUSAN