DOHA : Argentina melangkah ke pentas final Piala Dunia 2022 setelah menewaskan Croatia, 3-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Lusail, sebentar tadi.
Gol Argentina dijaringkan ketua pasukan, Lionel Messi yang menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan Dominik Livakovic pada minit ke-34 sebelum Julian Alvarez menggandakan kelebihan buat pasukan selang lima minit kemudian.
Messi terus membuktikan impak buat pasukan apabila larian solonya berjaya mengatasi kawalan beberapa pertahanan Croatia sebelum melorongkan bola kepada Alvarez untuk pemain berkenaan menjaringkan gol ketiga pasukan dan kedua peribadinya pada minit ke-69.
Walaupun Croatia cuba mengasak dan mengatur gerakan memburu gol namun keputusan 3-0 itu kekal sehinggalah tamat masa perlawanan.
Kemaraan ini memastikan impian Argentina memburu gelaran Piala Dunia pertama mereka sejak kejuaraan skuad 1986 dibarisi Diego Maradona semakin menjadi kenyataan dan akan membuat perhitungan bertemu sama ada Perancis mahupun Maghribi yang akan turun dalam satu lagi aksi separuh akhir awal pagi esok.
Bagi Croatia pula kekalahan ini menyaksikan mereka gagal mengulangi pencapaian 2018 apabila beraksi di pentas final sebelum tewas kepada Perancis. -AGENSI