Rumah diduduki sejak 30 tahun musnah terbakar

Rumah diduduki sejak 30 tahun musnah terbakar

KAMARIAH Shamsudin melihat keadaan rumah dan kereta yang terbakar di Taman Indah Jabi, Pokok Sena, Kedah. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Lima sekeluarga termasuk seorang warga emas yang lumpuh akibat strok tinggal sehelai sepinggang apabila rumah diduduki sejak 30 tahun lalu musnah terbakar dalam kejadian di Taman Indah Jabi, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, Abdul Kadir Mansur, 76, bersama isteri, Kamariah Shamsudin, 67, tidur di bilik utama rumah tersebut sebelum terdengar bunyi percikan api dari luar rumah.

“Isteri yang mendengar bunyi itu dulu seperti bunyi mercun dan menjerit. Menantu yang belum tidur terus bawa saya keluar.

“Tidak sempat selamatkan apa pun, tetapi nasib baik semua selamat. Saya reda, ini ujian untuk kami sekeluarga. Sudah 30 tahun duduk di sini,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Indah Jabi, di sini, semalam.

Menurut bekas tukang kebun itu, selain isteri, dia menetap di rumah tersebut bersama anak, Norhidayah, 26, dan menantu mereka, Mohd. Shahir Asraf, 28, serta cucunya yang berusia 18 bulan.

“Nasib baik ketika kejadian menantu tak tidur lagi sebab tonton bola sepak Piala Dunia 2022. Kalau semua tidur nyenyak entahlah apa yang jadi.

“Semua musnah termasuk kereta menantu yang tak sampai setahun dia beli dan dua motosikal kami. Buat sementara waktu ini kami terpaksa menumpang di rumah anak dekat Langgar,” katanya yang lumpuh sejak 10 tahun lepas.

Dalam pada itu, Mohd. Shahir yang juga seorang pekerja kilang berkata, walaupun hilang harta benda namun dia bersyukur kerana mereka lima sekeluarga terselamat daripada kebakaran itu.

“Bila terdengar mak menjerit saya terus keluar dari bilik dan nampak api marak dari luar rumah. Saya tak ingat apa dah masa itu terus kejutkan isteri bawa anak dan mak keluar sementara bawa ayah keluar ikut pintu dapur.

“Api marak sangat pantas. Semua barang terbakar kecuali sebahagian kecil perabot di dapur. Kereta pun yang baru saya beli Mac lepas pun musnah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya