PETALING JAYA: Rata-rata persatuan sukan negara meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan kenyataan semberono yang dilemparkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan baharu, Adam Adli Abdul Halim.
Antaranya, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata adalah tidak wajar dakwaan tanpa usul periksa dilemparkan Adam Adli.
Tegas beliau berkata, kenyataan sedemikian terhadap persatuan sukan tanpa mengemukakan sebarang data dan bukti seolah-olah memperlihatkan industri sukan sangat teruk.
“Ya, secara amnya, adalah baik rasuah tidak disokong tetapi untuk membuat kenyataan terbuka seperti ini (tidak sepatutnya), melainkan dia mempunyai bukti dan data untuk membenarkan apa yang beliau katakan, itu tidak wajar.
“Ini adalah kenyataan tidak matang,” kata Amarjit yang juga seorang peguam dan hakim turut mencadangkan agar Adam melibatkan diri dengan pihak berkepentingan dalam industri sukan supaya beliau dapat memahami apa yang persatuan sukan lakukan.
Berbasikal dan sukan berprofil tinggi lain telah menghasilkan pingat di kejohanan tertinggi di dunia dan ini adalah persatuan yang sama telah memainkan peranan berkenaan.
Kelmarin, Adam Adli mahu memastikan semua sukan di dalam negara diberikan perhatian sewajarnya dan dalam masa sama membanteras masalah penyelewengan yang kerap berlaku dalam industri sukan Malaysia.
Baginya, industri sukan negara akan lebih berkembang maju sekiranya dua perkara tersebut berjaya dibendung.
Dalam pada itu, Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt turut meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Adam Adli yang beliau anggap bersifat populis.
“Kenyataan itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Ia hanya bersifat merobek perasaan NSA yang kononnya adalah pihak berkepentingan terbesar dalam dunia sukan.
“Adalah tidak adil bagi mereka yang telah bertungkus-lumus dan bekerja siang malam untuk membuahkan kejayaan dalam acara sukan masing-masing,”ujarnya.-UTUSAN