LONDON: Neymar mengetuai bintang bola sepak yang memberi penghormatan kepada Pele selepas kematian legenda Brazil itu hari ini.
Bintang Paris Saint-Germain tersebut menyifatkan rakan senegaranya itu sebagai ikon yang telah ‘mengubah bola sepak menjadi seni’.
Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun selepas mengalami ‘kegagalan pelbagai organ’ setelah lama bertarung dengan kanser.
Digelar “O Rei” (Raja), Pele menjaringkan lebih daripada 1,000 gol sebelum bersara pada 1977.
Penyerang Brazil, Neymar memuji Pele, pemenang Piala Dunia tiga kali, dalam catatan media sosial bersama dua gambar dirinya bersama legenda itu.
“Sebelum Pele, ’10’ hanyalah satu nombor.
“Tetapi ayat yang indah itu tidak lengkap. Saya akan mengatakan bahawa sebelum Pele, bola sepak hanyalah sukan.
“Dia mengubah bola sepak menjadi seni, menjadi hiburan… Status bola sepak dan Brazil telah bangkit terima kasih kepada Raja. Dia telah pergi, tetapi magisnya akan kekal. Pele selamanya!,” tulis pewaris nombor baju terkenal Pele di Instagram.
Sementara itu, bintang penyerang Perancis, Kylian Mbappe yang mengikuti jejak langkah Pele dengan memenangi Piala Dunia pada usia 19 tahun turut memberikan penghormatan.
Mbappe membantu Perancis menjulang Piala Dunia pada 2018 dan turut menjaringkan hatrik dalam kekalahan dramatik penentuan penalti menentang Argentina pada perlawanan akhir edisi 2022 di Qatar, bulan ini.
“Raja bola sepak telah meninggalkan kami tetapi warisannya tidak akan dilupakan. RIP KING,” tulis penyerang PSG itu di Twitter.
The king of football has left us but his legacy will never be forgotten.
RIP KING 💔👑… pic.twitter.com/F55PrcM2Ud— Kylian Mbappé (@KMbappe) December 29, 2022
Pemenang Piala Dunia England, Sir Geoff Hurst pula memuji Pele sebagai ‘terhebat sepanjang zaman’.
Hurst bermain menentang Pele dalam Piala Dunia 1970, dengan Brazil memenangi perlawanan peringkat kumpulan antara kedua-dua negara 1-0, dan menilai penyerang itu sebagai yang terbaik pernah dihadapinya.
“Saya mempunyai begitu banyak kenangan tentang Pele, tanpa ragu-ragu pemain bola sepak terbaik yang pernah saya lawan (dengan Bobby Moore adalah pemain bola sepak terbaik pernah saya mainkan bersama).
“Bagi saya Pele kekal yang terhebat sepanjang zaman dan saya bangga berada di atas padang bersamanya. RIP Pele dan terima kasih,” tulis Hurst di Twitter. – AFP