PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminta Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim membuktikan dakwaan beliau berkaitan badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.
Presiden MOM Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata kenyataan tersebut adalah tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara telah berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad.
“Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti.
“Sepatutnya Adam Adli hendaklah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kenyataan menyeluruh yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada,”katanya.
Tambah Norza, beberapa NSA telah diiktiraf sebagai persatuan model dan mematuhi prinsip amalan terbaik tadbir urus yang baik.
Malah, NSA berkenaan juga telah membantu meningkatkan profil sukan negara dengan melahirkan jaguh dunia yang digeruni dalam acara badminton, lumba basikal, terjun, tenpin boling dan silat.
“Meskipun NSA terbabit tidak sempurna dan beroperasi dalam kekangan, anda tidak boleh menyamakan kami dengan mereka yang kurang bertanggungjawab.
“Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki namun tindakan mendakwa badan sukan mengamalkan rasuah adalah prejudis serta tidak matang,”ujarnya.