PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan telah menerima writ dan pernyataan tuntutan saman fitnah daripada peguam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dalam satu hantaran di media sosial memaklumkan, beliau telah menyerahkan perkara itu kepada peguamnya untuk mengendalikan kes berkenaan mengikut lunas undang-undang.
“Oleh kerana Anwar telah memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, maka saya telah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengendalikan kes ini mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Semalam Anwar memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa beliau menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor dalam satu ceramah ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tuntutan saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi pada pukul 10.30 pagi menerusi firma guaman, Tetuan S. N. Nair & Partners.
Berdasarkan tuntutan, Anwar mendakwa Muhyiddin didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai di Taman Selasih, Kulim sewaktu kempen PRU15 pada 5 Disember lalu. – UTUSAN