DOHA: Maghribi mencipta sensasi di Piala Dunia 2022 apabila mara ke suku akhir buat kali pertama selepas menumpaskan Sepanyol 3-0 dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Education City sebentar tadi.
Penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou atau lebih dikenali sebagai Bono muncul wira selepas berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti diambil Carlos Soler dan Sergio Busquets manakala, tendangan Pablo Sarabia terkena tiang.
Tiga pemain Maghribi iaitu Abdelhamed Sabiri, Hakim Ziyech dan Achraf Hakimi berjaya menyempurnakan sepakan masing-masing manakala, tendangan Badr Bonoun berjaya diselamatkan Unai Simon.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada masa sebenar permainan dan juga masa tambahan dengan Sepanyol dilihat lebih banyak melancarkan serangan ke kubu Maghribi sehingga wisel penamat dibunyikan.
Aksi di babak pertama banyak berkisar di bahagian tengah padang dengan Sepanyol lebih banyak menguasai bola namun, Maghribi nampak lebih ahaya melalui serangan balas melalui bahagian sayap mereka.
Maghribi mempunyai beberapa peluang terbaik termasuk melalui sepakan percuma Hakimi manakala, peluang keemasan Sepanyol hadir menerusi Marco Asensio pada minit ke-27 selepas bijak melepasi perangkap ofsaid.
Bagaimanapun, pemain Real Madrid itu gagal memanfaatkan peluang terhidang selepas rembatannya tersasar dan sekadar mengegarkan jaring sebelah diri pintu gol Maghribi walaupun hanya berdepan penjaga gol.
Percubaan tepat pertama perlawanan hadir pada minit ke-32 menerusi pertahanan kiri Maghribi, Noussair Mazraoui yang melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti yang kemudiannya diselamatkan Unai Simon.
Skrip separuh masa pertama berulang pada babak kedua dengan anak buah Luis Enrique lebih banyak melakukan ancaman dengan Maghribi cuba melakukan serangan balas namun, tiada penyudah sempurna.
Pada babak terakhir masa tambahan, Sepanyol melakukan asakan bertali arus dan mereka nyaris mendapatkan gol kemenangan namun, percubaan Sarabia hanya mengegarkan tiang sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.
Dengan kemenangan itu, Maghribi akan menunggu pemenang antara Portugal dan Switzerland yang akan turun beraksi pada pukul 3 pagi ini untuk mengisi slot ke suku akhir-Agensi