Lelaki terjun sungai ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Lelaki terjun sungai ditemukan lemas

LOKASI dua lelaki dipercayai terjun ke Sungai Kedah bagi mengelak dari diberkas polis di Taman Limau Manis, Alor Mengkudu, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mayat lelaki yang terjun ke Sungai Kedah bagi mengelak daripada ditangkap polis kira-kira pukul 1 tengah hari tadi, berjaya ditemukan selepas lebih dua jam kejadian itu berlaku.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Sayani Saidon berkata, mayat individu berkenaan yang berusia 45 tahun, ditemukan kira-kira 44 meter dari tebing sungai sedalam satu meter pada pukul 3.34 petang.

“Pihak bomba menggunakan bot penyelamat dan peralatan khas ‘grappling iron’ untuk tujuan mencari dan menyelamat. Sebaik ditemukan, individu berkenaan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Jasad lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 4.30 petang,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan mengenai tindakan individu berkenaan bersama seorang lagi lelaki berusia 30-an, terjun ke Sungai Kedah berhampiran Taman Limau Manis, Jalan Alor Mengkudu, semata-mata demi mengelak daripada diberkas polis.

Kedua-dua mereka berbuat demikian setelah menyedari kehadiran pihak polis yang menerima maklumat mengenai penghantaran dadah di lokasi tersebut dari Pendang.

Sebaik terjun ke sungai, lelaki berusia 45 tahun tersebut kemudiannya tiba-tiba hilang dari pandangan manakala rakannya yang berusia 30-an itu dapat berenang menyeberangi sungai untuk meloloskan diri.

Seorang lagi rakan mereka berusia 20-an yang turut berada di lokasi sama, berjaya diberkas pihak berkuasa meskipun turut cuba melarikan diri.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

“Setakat ini pihak polis masih mengesan seorang lagi individu yang terjun ke sungai tersebut bersama individu yang lemas itu,” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya