PETALING JAYA: Jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah terus mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa apabila meraih gelaran dunianya yang kelima setelah dinobatkan juara dalam Kejohanan Bina Badan dan Fizikal Dunia di Phuket, Thailand kelmarin.
Syarul Azman yang mesra disapa Mike Mahen berjaya mengungguli acara Athletic Physique lelaki untuk menebus kekecewaan tahun lalu apabila sekadar meraih pingat gangsa.
Bagi Mike segala pengorbanan yang dilakukan dengan menjalani diet yang ketat seperti berpantang daripada pengambilan makanan berminyak dan gula selama tempoh 10 bulan dirasakan berbaloi dengan kejayaan ini.
“Kejayaan ini amat bermakna kerana bukan senang selepas saya mengharungi pelbagai dugaan, tetapi saya berjaya menutup tahun ini dengan merampas kembali gelaran dunia menjadi milik saya.
“Selepas Sukan SEA, saya memang bercita cita tinggi apabila ke Maldives untuk mendapatkan gelaran Asia tetapi tidak berjaya, jadi saya memperketatkan lagi rutin diet saya dan latihan, dan akhirnya segala pengorbanan itu dibayar dengan kemanisan ini.
“Jadi saya mahu hadiahkan kemenangan ini kepada rakyat Malaysia yang menyokong saya selama ini,”jelas Mike ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Atlet berusia 49 tahun itu mula menggengam gelaran dunia pada tahun 2016 dan ia berjaya dikekalkan selama empat tahun berturut-turut sehingga 2019, bagaimanapun edisi 2020 tidak dapat diadakan kerana penularan wabak Covid-19.
Selain Mike, Malaysia juga turut memperoleh satu lagi pingat emas menerusi Buda Anchah dalam kategori Masters Lelaki (umur 50-60) serta satu pingat perak yang disumbangkan Meilaura Dora Jimmy bagi kategori Bina Badan Terbuka wanita.-UTUSAN