Cuti bersalin 98 hari, kerja 45 jam seminggu bermula 1 Januari

Cuti bersalin 98 hari, kerja 45 jam seminggu bermula 1 Januari

V. SIVAKUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Pindaan Akta Kerja 1955 yang ditangguhkan sebelum ini, akan dilaksanakan bermula 1 Januari depan tanpa penangguhan lagi.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kandungan pindaan itu melibatkan penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

Katanya, perkara ini harus diteruskan kerana undang-undang ini sudah pun diluluskan Parlimen.

“Sebahagian besar pindaan yang dibuat adalah berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Pelaksanaan perkara ini yang tertangguh sebelum ini adalah penting untuk kita laksanakan, ia jaminan kepada pekerja,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelaksanaan akta itu perlu ditangguhkan hingga 1 Januari 2024 bagi memberi lebih masa kepada pemain industri dan majikan.

Media sebelum ini melaporkan pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya berkuat kuasa 1 September lalu, tetapi ditangguhkan ke 1 Januari 2023.

Penangguhan itu dibuat susulan pemain industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor termasuk memerlukan sedikit masa berikutan masih dalam proses pemulihan ekonomi.

Sivakumar berkata, selain itu, pindaan Akta Kerja 1955 juga mewajibkan keperluan mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ( JTKSM) di bawah Seksyen 60K (4) Akta Kerja 1955.

“Kelulusan penggajian ini untuk penggajian semua kategori pekerja asing di negara ini. Kewajaran untuk majikan mendapatkan kelulusan daripada Ketua Pengarah JTKSM kerana permohonan yang ditolak sebelum ini susulan kegagalan majikan mematuhi undang-undang perburuhan.

“Seksyen 60K(4) Akta Kerja 1955 akan bertindak sebagai saringan awal yang efektif di dalam memastikan majikan yang bakal menggajikan pekerja asing di negara ini mempunyai rekod yang bersih dari aspek kepatuhan kepada standard perburuhan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi perhatian khusus kepada isu kelulusan membawa masuk pekerja asing dalam sektor perladangan, perkhidmatan dan pembinaan, beliau berkata, kemasukan 700,000 pekerja untuk pelbagai sektor sudah diluluskan.

Berdasarkan rekod katanya, sebanyak 87,335 kelulusan pekerja asing diberikan bagi sektor pertanian, perkhidmatan (128,428) dan pertanian (27,053) setakat ini.

“Memang kita faham pelbagai sektor amat memerlukan tenaga kerja ini mengatakan bahawa aktiviti dan produktiviti mereka terkandas disebabkan tidak cukup tenaga buruh.

“Perkara ini dipandang serius kementerian saya… Kita akan lihat dan bantu sektor yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan mengenai sistem pengambilan pekerja asing menggunakan One Channel System (OCS), Sivakumar berkata, isu sama ada OCS diletakkan di bawah KSM mahupun KDN bukan isunya.

“Apa yang penting adalah hasil akhirnya, sama ada kita dapat pekerja yang cukup atau tidak itu lebih penting,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya