KUALA TERENGGANU : Kerajaan negeri Terengganu bersedia menimbang cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan lima negeri lain yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini perkara tersebut sudah dibincangkan secara tidak rasmi dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Ada perbincangan secara kasual (dengan Selangor), kita akan cuba cari ruang supaya bekerjasama untuk membubarkan DUN dengan mana-mana pihak (negeri) yang ingin bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, enam negeri tidak membubarkan DUN iaitu Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang memberitahu, perbincangan tersebut tidak memberi sebarang bayangan masa yang sesuai untuk beliau membubarkan DUN Terengganu bagi memberi laluan kepada PRN.
“Sebelum berakhir tempoh (habis penggal pada Jun 2023), Insya-Allah kita bubarlah,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai cadangan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya PRN diadakan segera kerana gelombang sokongan PN terlalu kuat ketika ini, Ahmad Samsuri berkata, ia akan dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan PN.
“Kita terima itu sebagai satu cadangan termasuk cadangan dari orang lain juga, kita akan timbang mana yang paling sesuai,” katanya. – UTUSAN