PARIS: Juara dunia 2022, Argentina melonjak ke tangga kedua ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) diumumkan semalam.
Brazil yang terkandas pada suku akhir di Qatar 2022 bagaimanapun masih kekal sebagai pasukan No. 1 dunia.
Kejayaan menamatkan penantian 36 tahun untuk menjulang Piala Dunia di Doha, Ahad lalu membolehkan Argentina naik satu anak tangga daripada ranking terakhir.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/argentina2-4-600x400.jpg)
Naib juara dunia, Perancis turut memperbaiki satu anak tangga di kedudukan ketiga dunia, manakala Belgium jatuh dari tempat ketiga tangga keempat.
Perlawanan akhir Piala Dunia 2022 minggu lalu terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 selepas masa tambahan.
Mengikut peraturan FIFA, jika perlawanan itu dimenangi dalam tempoh 90 minit, pasukan berkenaan akan dapat memintas Brazil di puncak ranking.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/r-mor-15-600x400.jpg)
Sementara itu, Croatia melonjak dari tangga ke-12 ke tangga kedudukan ketujuh selepas menduduki tempat ketiga Piala Dunia, manakala Maghribi yang meraih tempat keempat di tangga ke-11, ranking paling tinggi dalam kalangan pasukan Afrika.
Kejayaan muncul pasukan Afrika pertama melayakkan diri ke separuh akhir Piala Dunia membolehkan skuad Singa Atlas mendaki 11 anak tangga. – AGENSI
RANKING FIFA
1. Brazil 1,840.77 mata
2. Argentina 1,838.38
3. Perancis 1,823.39
4. Belgium 1,781.30
5. England 1,774.19
6. Belanda 1,740.92
7. Croatia 1,727.62
8. Itali 1,723.56
9. Portugal 1,702.54
10. Sepanyol 1,692.71