Ahli perniagaan mengaku tidak salah menyamar polis perdaya wanita RM100,000 - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan mengaku tidak salah menyamar polis perdaya wanita RM100,000

TINDAKAN seorang OKT yang cuba menendang seorang jurukamera media ketika membuat liputan pertuduhan menyamar anggota polis yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang orang kena tuduh (OKT) bertindak kasar apabila cuba menendang kamera seorang petugas media dalam kejadian di Mahkamah Sesyen, di sini pagi ini.

Bagaimanapun, tiada kerosakan atau kecederaan berlaku selepas petugas media berkenaan sempat mengelak sepakan OKT yang berdepan tuduhan menyamar sebagai anggota polis berkenaan.

Terdahulu, tertuduh, V. Premantharan Pillai, 44, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menyamar sebagai anggota polis termasuk satu pertuduhan melibatkan kerugian sebanyak RM100,000 ketika dihadapkan di dua mahkamah berbeza, di sini hari ini.

Premantharan Pillai yang juga ahli perniagaan membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim dan Majistret R. Manomani.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa berpura-pura memegang jawatan sebagai pegawai polis kepada seorang lelaki dan dua wanita masing-masing dalam kejadian di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, pada 13 Februari 2021 dan di Sungai Ara dekat sini, pada 23 Februari 2021.

Dua daripada kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala satu lagi di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, dia turut dituduh memperdaya salah seorang mangsa wanita sama untuk menyerahkan wang sebanyak RM100,000 dengan memberitahu kononnya untuk membebaskan suami wanita berkenaan bersabit satu kes kesalahan dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah bank di daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini pada 24 Februari hingga 25 Februari tahun lalu menerusi dua akaun bank antara pukul 12 tengah hari hingga 5 petang.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri dan Nurnajihatul Idayu Mohd. Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon kedua-dua mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan laporan kes itu sudah dibuat sejak tahun lalu dan tertuduh gagal dikesan sejak laporan dibuat serta ditahan polis di luar daerah iaitu di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Rayer membantah dengan alasan kes yang dihadapi anak guamnya boleh dijamin serta meminta mahkamah menggunakan budi bicara memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan serta perlu menanggung seorang isteri dan tiga anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan nilai keseluruhan RM9,000 bagi kesemua pertuduhan dihadapi dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah turut membenarkan kesemua pertuduhan dibicarakan serentak dan menetapkan 10 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula serta serahan dokuman.

Difahamkan, tertuduh turut berdepan satu lagi tuduhan di Mahkamah Seksyen hari ini. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya