11 nelayan warga asing ditahan ceroboh perairan negara - Utusan Malaysia

11 nelayan warga asing ditahan ceroboh perairan negara

SEBAHAGIAN daripada nelayan warga asing yang ditahan Maritim Malaysia selepas didapati menceroboh perairan negara di sekitar perairan Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan dan sebuah bot nelayan Indonesia dalam operasi berasingan di perairan negeri ini pada 22 dan 24 Disember lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, susulan penahanan kedua-dua bot itu, 11 nelayan warga asing turut ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja.

Abdul Razak berkata, kapal ronda Maritim Malaysia menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 25 kilometer dari barat Pulau Kendi pukul 4.17 petang, 22 Disember lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak ini dikendalikan lima nelayan warga asing iaitu tiga warga Myanmar dan dua warga Thailand yang berumur antara 19 hingga 52 tahun.

“Mereka juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, dalam operasi berbeza, sebuah bot nelayan Indonesia ditahan pada kedudukan 96 kilometer dari Pulau Kendi pukul 12.10 tengah hari, 24 Disember lalu dalam rondaan Op Tanjung.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing yang berpangkalan di Belawan, Indonesia itu mendapati ia dikendalikan enam kru warga Indonesia berumur antara 24 hingga 42 tahun.

”Kesemua mereka didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya.

Tambahnya, kesemua nelayan warga asing itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan negara tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan dan dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan mengingatkan semua komuniti nelayan tempatan termasuk pemilik bot mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari isu pencerobohan bot nelayan asing.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya