AMPANG : Pengalaman selama 15 tahun dan rekod prestasi dalam perkhidmatan akan memberi kelebihan buat penyandang Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam memastikan terus kekal mendapat sokongan pengundi.
Walaupun berdepan lapan penjuru, Zuraida percaya pengorbanannya selama ini memberi kelebihan berbanding calon lain.
“Saya tahu ini adalah pertarungan yang sukar. Malah, ia pertarungan yang paling mencabar buat saya. Pertama, saya akan berdepan dengan lapan pencabar lain, termasuk tiga calon bebas.
“Kedua, saya bertanding di bawah parti baharu, parti yang baru ditubuhkan,” katanya ketika melawat pengundi di Parlimen ini.
Bagaimanapun, beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Ibu Bangsa Malaysia’ berkata pengundi hari ini lebih matang dan berpengetahuan luas tentang isu-isu semasa berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.
“Walaupun saya pernah berada di Ampang dan memahami isu-isu di sana, saya tidak akan ambil jalan mudah. Saya tetap akan mengambil masa untuk meninjau dan mengenal pasti semua isu yang memberi kesan kepada penduduk di sini.
“Ini termasuk isu-isu tempatan seperti pengangkutan awam, infrastruktur, banjir dan kebajikan. Selain itu saya juga akan menumpukan usaha untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di Ampang yang merangkumi aspek pekerjaan, peluang perniagaan, pendidikan dan juga pembangunan kemahiran,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Zuraida memberitahu bahawa beliau sudah mendapatkan banyak maklum balas dari pengundinya selama ini dan telah pun membentuk ikatan akrab dengan mereka.
“Kami seperti sebuah keluarga di sini dan sebab itu, saya yakin walaupun bertanding di bawah logo Parti Bangsa Malaysia (PBM), ia tidak akan memberi kesan negatif kepada saya,” jelasnya.
Mengenai jentera pilihan raya di Ampang, beliau berkata terdapat hampir 5,000 orang sukarelawan di lapangan sedang giat mendekati seramai mungkin pengundi.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Zuraida akan berdepan lapan lagi lawan iaitu Rodziah Ismail (Pakatan Harapan), Ivone Low Yi Wen (Barisan Nasional), Shasha Lyna Abdul Latiff (Perikatan Nasional), Dr. Nurul Ashikin Mabahwi (Parti Pejuang Tanah Air), Bryan Lai Wai Chong (Parti Warisan) dan tiga calon bebas iaitu Muhammad Shafiq Izwan Mohd. Yunos, Tan Hua Meng dan M. Raveendran.
Pada PRU14, Zuraida yang ketika itu mewakili PKR menang dengan undi sebanyak 54,307 mengalahkan calon BN, Leong Kim Soon (12,351 undi) dan calon Pas, Nurul Islam Mohamed
Yusoff (9,598) sementara Tan Hua Meng dari Parti Rakyat Malaysia hanya memperoleh 294 undi sekali gus hilang deposit. – UTUSAN