ARAU: Perikatan Nasional (PN) mendominasi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Keputusan tidak rasmi yang dipaparkan di Pusat Penjumlahan Undi Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, di sini, setakat pukul 10 malam menyaksikan Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli mendahului di DUN Sanglang dengan memperoleh 1,678 undi diikuti rapat pencabarnya yang merupakan calon Barisan Nasional (BN), Sharipudin Ahmad mendapat 481 undi.
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Ahmad Fadhzil Mohamad pula memperoleh sebanyak 251 undi manakala wakil Parti Warisan Sabah (Warisan), Zainudin Yom mendapat 57 undi.
Sementara itu, bagi kerusi DUN Pauh, PN turut mencipta kejutan apabila Megat Hashirat Hassan mendahului dengan 2,690 undi manakala pencabarnya, Syed Atif Syed Abu Bakar (BN) mendapat 1,433 undi.
Manakala, calon PH, Azhar Ameir pula mendapat sebanyak 1,270 undi di kerusi berkenaan dan wakil Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd Khalid Ahmad pula memperolehi 666 undi.
Dalam pada itu, bagi kerusi DUN Simpang Empat, calon PN, Razali Saad mendahului dengan 2,127 undi diikuti rapat pencabarnya yang merupakan calon BN, Nurulhisham Yaakob mendapat dengan 466 undi.
Di kerusi sama, calon PH, Amran Darus memperoleh sebanyak 423 undi, calon GTA, Kamarudin Sudin sebanyak 32 undi, calon Warisan, Wan Noralhakim Shaghir Saad sebanyak 12 undi dan calon Bebas, Ammar Hassan sebanyak 53 undi.
Sementara itu, kubu kuat BN di Tambun Tulang turut didominasi PN menerusi calon mereka, Wan Zikri Afthar Ishak mendahului dengan 2,040 undi diikuti Datuk Ismail Kassim(BN), sebanyak 1,465 undi.
Manakala calon lain di kerusi itu, Muhammad Syahmi Suhaimi (PH) pula memperoleh sebanyak 547 undi manakala calon GTA, Maton Din meraih sebanyak 61 undi.
Bagi kerusi DUN Guar Sanji, PN meneruskan kecemerlangan bagi mendahului di kawasan itu menerusi calon mereka, Mohd Ridzuan Hashim yang mendapat 3,405 undi manakala calon BN, Roziena Ahmad pula mendapat sebanyak 752 undi.
Calon PH, Hasparizal Hassan pula meraih sebanyak 287 undi manakala calon GTA, Abdul Malik Abdullah sebanyak 45 undi.-UTUSAN