PETALING JAYA: Misi memburu Piala Malaysia yang ke-34 diteruskan Selangor FC selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekali gus mara dengan agregat 3-0, sebentar tadi.
Aksi kedua di laman sendiri nyata lebih sukar buat skuad The Red Giants untuk menambah lebih banyak gol biarpun menentang pasukan Liga Perdana itu.
Pasukan pelawat mempamerkan disiplin yang tinggi untuk bertahan bagi memastikan mereka tidak dibelasah.
Begitupun, jaringan sendiri pemain tengah Kelantan United, Nik Akif Syahiran Nik Mat yang tertanduk bola menerusi sepakan bola mati Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi ke gawang sendiri sudah cukup untuk membawa Selangor mengesahkan tempat ke suku akhir.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu sebenarnya berpeluang menjaringkan lebih banyak gol tetapi penyudah tumpul menjadi punca utama kegagalan tuan rumah.
Juara Piala Malaysia 33 kali itu juga sepatutnya mendahului pada awal babak pertama tetapi rembatan penyerang import Brazil, Herlison Caion melambung tinggi melepasi gawang gol Kelantan United Fikri Che Soh.
Kelantan United turut mempunyai beberapa peluang untuk mengejutkan Selangor tetapi malangnya gagal disudahkan dengan jaringan.
Kemenangan itu membolehkan Selangor bertemu Negeri Sembilan FC di suku akhir yang akan berlangsung 6 dan 11 November ini selepas lawan tersebut menang 2-1 secara ageregat ke atas Kedah Darul Aman FC.
Terdahulu, Selangor membawa bekalan selesa selepas menang 2-0 dalam perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu minggu lalu.
Kali terakhir Selangor memenangi Piala Malaysia adalah pada 2015. -UTUSAN