SEREMBAN: Selangor FC berjaya mengekang kebangkitan Negeri Sembilan FC apabila mengikat tuan rumah 2-2 dalam suku akhir kedua Piala Malaysia, sekali gus melangkah ke separuh akhir secara agregat 4-2, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan Selangor menempah pertemuan dengan Terengganu FC yang menyingkirkan Kuala Lumpur City (KL City) secara agregat 4-1 dalam satu lagi saingan suku akhir.
Memegang rekod sebagai juara terbanyak Piala Malaysia dengan 33 gelaran, skuad Gergasi Merah bagaimanapun tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan sekali kali terakhir muncul juara pada 2015.
Selangor yang menang 2-0 pada suku akhir pertama di Petaling Jaya minggu lalu garang sebaik sahaja perlawanan bermula dengan mendahului seawal minit ke-10 menerusi penyerang dari Brazil, Herlison Caion.
Tuan rumah bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-24 hasil sepakan penalti yang disempurnakan Matheus Alves Leandro.
Menuju tamat separuh masa pertama, perlawanan semakin rancak dengan pelawat kembali mendahului menerusi jaringan pertahanan tengah, Yazan Mousa Al-Arab pada minit ke-45.
Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk kembali mengikat kedudukan menerusi sentuhan ketua pasukan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak di waktu kecederaan.
Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah menggandakan asakan untuk mencari tambahan gol bagi menghidupkan peluang, namun gagal sekali membolosi gawang Selangor.
Pertukaran pemain yang dilakukan kedua-dua pasukan menyaksikan Red Giants kembali menguasai permainan, 20 minit menuju penghujung perlawanan tetapi gagal mencari jaringan tambahan.
Hasrat Negeri Sembilan cuba bangkit bagaimanapun seakan terpadam selepas beraksi dengan 10 orang selepas pemain mereka dilayangkan kad merah.
Selangor kini masih tidak kalah dalam semua perlawanan sejak diambil alih oleh Tan Cheng Hoe pada September lalu. – UTUSAN ONLINE