BANGI: Calon bebas bagi Parlimen Bangi P102, Chee Chee Meng dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) yakin sejarah kehilangan deposit tidak akan berulang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas pensyarah itu berkata, beliau berani untuk tampil di bawah PRM adalah kerana rakyat mahukan perubahan dan pembelaan.
Katanya, beliau adalah orang baharu dan mendapat sokongan penuh rakyat dalam Parlimen Bangi.
“Kekalahan pada PRU14 adalah sejarah maka biarlah ia menjadi sejarah.
“Walaupun kalah (PRU14) tetapi PRM masih diterima rakyat dan PRU15 akan melakar sejarah baharu bahawa saya dan PRM tidak akan hilang deposit,” katanya yang ditemui selepas disahkan bertanding di Pusat Penamaan Calon PRU15 di Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat, Bangi di sini hari ini.
Terdahulu, Pegawai Pengurus PPC Parlimen Bangi (P. 102), Dr Ani Ahmad mengesahkan tiga calon Bebas terbabit adalah M. Suthan, Muhammad Fauzi Hasim dan Jamal Hisham Hashim.
Lima wakil parti pula adalah Syahredzan Johan (Pakatan Harapan), Chee Meng, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (Perikatan Nasional), Annuar Salleh (Pejuang) dan Hoh Hee Lee (Barisan Nasional).
Ditanya mengenai hala tuju PRM untuk pengundi Parlimen Bangi, Chee Meng berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada pembelaan kebajikan rakyat terutama warga emas.
“Selain itu, saya mahu memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan pengukuhan perpaduan Rakyat yang berbilang bangsa,” katanya.
Pada PRU14 tahun 2018, calon PRM, Wan Jinn Woei hanya memperoleh 215 undi sekali gus hilang deposit melibatkan persaingan empat penjuru antara calon Pas, Mohd Shafie Ngah mendapat 33,789 undi; calon Pakatan Harapan, Ong Kian Ming, 102,557 undi dan calon BN, Liew Yuen Keong, 19,766 undi.
Kian Ming yang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 68,768. – UTUSAN