PETALING JAYA: Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr. Michael Jeyakumar Devaraj berkata beliau memutuskan tidak bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput pada PRU15 kerana PSM tidak memperoleh banyak undi di kawasan yang ada sokongan padu kepada Pakatan Harapan.
“Itulah realitinya dan kita telah melihat ia berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas parti itu mengumumkan calonnya.
Jeyakumar juga berkata, beliau memutuskan untuk tidak bertanding di kerusi itu kerana PSM tidak mahu memberi gambaran bahawa ia membalas dendam terhadap pakatan pembangkang kerana memutuskan untuk tidak mengadakan pakatan pilihan raya dengan partinya.
Jeyakumar memenangi kerusi itu pada 2008 dan mengekalkannya pada pilihan raya umum berikutnya. Dalam kedua-dua keadaan, beliau bertanding di bawah panji-panji PKR.
Pada pilihan raya umum ke-14, Jeyakumar kehilangan kerusi itu dalam pertembungan empat penjuru.
Beliau hanya berjaya memperoleh 1,505 undi manakala S Kesavan dari PKR menang dengan 20,817 undi.
Jeyakumar juga berkata, parti itu tidak mahu menghalang pertandingan antara PH dan BN di Sungai Siput kerana ini boleh mengurangkan peluang PH untuk menang.
“Jika PSM bertanding, ada kemungkinan besar PH boleh kalah, dan mereka akan menyalahkan kami,” katanya.
Jeyakumar berkata, ahli dan penyokong PSM di Sungai Siput akan mengundi PH kerana mereka tidak mahu BN menang.
“Jika kedua-duanya (PSM dan PH) kalah, ahli dan penyokong kami tidak akan gembira,” katanya.
Semalam, PKR mempertahankan keputusan PH untuk tidak membentuk pakatan pilihan raya dengan PSM di kerusi Sungai Siput, dengan alasan kawasan itu dimenangi di bawah panji-panji PKR sebelum ini.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata ia bukan soal memberi peluang kepada PSM, tetapi parti manakah yang mempunyai peluang terbaik termasuk dari segi jentera pilihan raya. – UTUSAN