JERANTUT: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, Muhamad Fasal Jamlus mengakui bahawa beliau tidak banyak bercakap kerana mahu tumpukan penyelesaian isu rakyat.
Menurutnya, rakyat kini lebih celik serta tahu menilai dan mereka tidak suka pemimpin yang hanya pandai bercakap kosong, kerana yang lebih penting ialah segala masalah dapat diselesaikan.
“Saya akui ada orang bertanya kenapa kurang bercakap apabila bertemu pengundi. Jawapannya memang sejak dulu lagi say tidak gemar bercakap kosong.
“Saya hanya bercakap mengenai isu rakyat. Jika ada aduan dan permasalahan, masa itulah saya akan bercakap dan memberi penerangan serta membantu menyelesaikan masalah mereka.
“Rakyat mahu pemimpin yang menyelesaikan segala permasalahan dan bukan yang hanya pandai ber cakap kosong,” katanya ketika ditemui di Terminal Bas Bandar Jerantut di sini.
Di Terminal Bas Bandar Jerantut itu, Muhamad Fasal menyambut ketibaan lebih 120 pelanjar pusat pengajian tinggi dari seluruh negara yang pulang ke kampung halaman mereka untuk mengundi.
Muhamad Fasal berkata, yang penting seseorang pemimpin itu harus mendengar setiap keluhan penduduk, memahami serta menghayati apa sahaja permasalahan mereka.
“Lepas mengetahui permasalahan rakyat, barulah beri maklum balas serta menyelesaikannya,” katanya.
Sementara itu, ketika bertemu para pelajar pusat pengajian tinggi, Muhamad Fasal menasihatkan mereka agar menilai seseorang pemimpin itu melalui gerak kerja serta kesungguhan menyelesaikan isu rakyat.
Beliau juga meminta mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis dan membuat pemilihan yang betul pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU 15). – UTUSAN