KLANG : Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan seramai 28 calon parti tersebut akan bertanding dalam kerusi Parlimen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Naib Presiden PRM, Ahmad Jufliz Faiza, ini berbeza dengan PRU-14 sebelum ini yang mana hanya melibatkan lapan calon Parlimen sahaja.
Menurutnya, berdasarkan pecahan sebanyak 14 kerusi di Parlimen Kelantan, Selangor (6), Pulau Pinang (4), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing satu di Kedah dan Perak.
“Selain itu, satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kamunting, Perak turut akan disertai PRM dalam PRU-15 kali ini.
“Kita akan bergabung dengan Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (Gerak) di Selangor dalam misi menawan Selangor.
“Kita juga mempertaruhkan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ezam (Mohd. Nor) dengan slogan Gerak Rakyat,” katanya pada pemberita pada sidang akhbar khas PRM dan pelancaran Gerak Rakyat hari ini.
Beliau berkata, antara kerusi Parlimen di Selangor yang akan ditandingi mereka adalah Kota Raja, Kapar, Petaling Jaya, Sungai Buloh, Shah Alam dan Bangi.
“Kita akan menampilkan sekurang-kurangnya dua calon muda berusia 24 dan 25 tahun.
“Pengumuman rasmi calon akan dibuat pada Khamis ini,”ujarnya. – UTUSAN