Wilayah Persekutuan adalah nadi ekonomi negara. Kuala Lumpur adalah ibu negara, pusat kewangan, perniagaan dan kebudayaan. Ia juga menjadi rumah kepada kira-kira 1.76 juta penduduk dan menjadi sebahagian Lembah Klang yang menguasai kira-kira lebih separuh aktiviti ekonomi negara. Jadi tidak hairanlah tumpuan parti politik untuk menguasai kawasan emas yang juga merangkumi pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya.
Pada PRU14 menyaksikan Harapan hampir menyapu bersih semua kerusi di Kuala Lumpur kecuali Putrajaya yang kekal milih Barisan Nasional (BN).
Walaupun saingan sengit dijangkakan di pusat pentadbiran kerajaan itu, penyandang empat penggal Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan), 72, dijangka mengekalkan penguasaan BN walaupun jumlah pengundi meningkat kepada 42,881 pengundi berbanding 27,306 pada PRU14.
Calon Perikatan Nasional (PN) Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin akan memberi saingan sengit. Radzi ‘menjual’ rekodnya memimpin Kementerian Pendidikan (KPM) dengan isu pendidikan dan membela nasib guru.
Saingan itu termasuk pecah undi akan menyaksikan Ku Nan memperoleh majoriti lebih rendah berbanding empat PRU lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan ketika diminta mengulas mengenai potensi kemenangan BN berkata, Putrajaya adalah kubu kuat BN yang diteraju Ku Nan sekian lama sehingga sinonim dengan julukan Ketua Kampung.
Katanya, walaupun Radzi selaku Menteri dianggap pesaing kuat, barangkali pengundi akan melihat kepada ketokohan, jentera parti dan isu lokaliti.
“Walaupun berhadapan dengan enam penjuru, bagi Ku Nan namanya sinonim dengan Putrajaya apatah lagi sebelum ini pernah menewaskan nama besar termasuk Naib Presiden dan Timbalan Presiden parti lawan.
“Saingan daripada Radzi tidak boleh diketepikan apatah lagi Radzi boleh mendapat sokongan faktor kedudukan perjawatan awam. Kelebihan Ku Nan adalah khidmat yang diberikan selama ini dan boleh menjadi penanda aras dalam pertembungan kali ini,” katanya.
Tetapi kekuatan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya DAP menyinar di kawasan-kawasan lain di Wilayah Persekutuan. Dalam PRU14, PH menyapu bersih semua 11 kerusi Parlimen.
Kekuatan undi masyarakat Cina yang secara tradisi memberi sokongan kepada DAP, swing vote pengundi Melayu kepada calon Harapan dan tumpuan kepada hal ekonomi menjadikan PH sekali lagi meraih sokongan pengundi.
Kerusi tradisi kuat DAP dan Harapan seperti Kepong, Batu, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai dijangka kekal dalam genggaman PH, selaras trend dan sokongan pengundi bandar.
Kawasan yang terdapat ramai pengundi Melayu seperti Wangsa Maju dan Setiawangsa yang pernah dimenangi BN akan melihat saingan sengit dengan keputusan ditentukan oleh pecah undi Melayu serta peratusan yang keluar mengundi.
Di Setiawangsa penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad masih dilihat mempunyai kelebihan selain diterima baik dan memerlukan pertukaran angin besar bagi mengubah senario politik itu.
Setiawangsa sebelum dibadai tsunami PRU14 adalah kubu kuat BN sejak diwujudkan pada 2004 dengan faktor undi tentera mampu memainkan peranan besar dengan anggaran 25,000 pengundi daripada 72,136 pengundi.
Satu kawasan yang “lebih biru” adalah Parlimen Titiwangsa. BN berpeluang cerah merampas kembali kerusi itu pengaruh Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Pengundi juga melihat kegagalan penyandangnya, Datuk Seri Rina Harun yang kini bertanding di Parlimen Sepang sebagai sokongan kepada Johari.
Lembah Pantai juga menyaksikan Fahmi Fadzil mendahului dan di Bandar Tun Razak, kehadiran Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memberi kelebihan kepada PH.
“Setiawangsa dan Titiwangsa menjadi taruhan sebenar BN untuk memenanginya. Titiwangsa nampak cerah sikit dengan tokoh BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Setiawangsa dilihat 50-50 disebabkan enam penjuru, namun boleh pecahkan undi Nik Nazmi dan memberikan saingan sengit,” kata Sivamurugan.
Bagi kerusi Labuan, BN dijangka merampas kembali kerusi dalam Wilayah Persekutuan itu biarpun kemenangan pada PRU14 lalu adalah atas tiket BN.
Kerusi-kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan akan lebih merah dengan beberapa kerusi menyaksikan saingan sengit dan BN dijangka kembali sedikit bernafas. – UTUSAN