KOTA BHARU: Tahap kesiapsiagan pusat penamaan calon bagi kawasan Parlimen Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini berada dalam keadaan baik.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati semua kelengkapan peralatan yang diperlukan sudah ditempatkan di dalam dewan berkenaan.
Pembantu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Muhammad Izhairi Ismail berkata, kerja-kerja menyediakan semua peralatan dalam dewan itu bermula sejak kelmarin.
“Semua kelengkapan itu termasuk peralatan telefon dan mesin faks yang akan berhubung terus dengan Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan ketika sesi penamaan calon esok.
“Semalam kita juga mengadakan latihan simulasi melibatkan seramai 100 kakitangan MPKB-BRI sebagai persiapan penamaan calon itu, begitu juga dokumentasi,” katanya. – UTUSAN