DOHA: Penjaga gol Iran, Ali Beiranvand cuba meneruskan permainan seminit selepas berlaga kepala ketika pasukannya kalah 2-6 kepada England dalam aksi pembukaan Piala Dunia awal pagi tadi tetapi rebah sebelum dibawa keluar menggunakan pengusung.
Ali bertembung dengan rakan sepasukan, Majid Hosseini ketika keluar untuk menyelamatkan hantaran silang dari kapten England, Harry Kane pada babak pertama.
Sentuhan Ali menghalang peluang terbaik The Three Lions untuk menjaringkan gol dan dia dibenarkan meneruskan permainan biarpun hidungnya berdarah.
Begitupun, tidak lama selepas bermain, dia rebah dan terpaksa diganti dengan penjaga gol lain.
Ali kemudian diusung keluar dan kini difahamkan mengalami “gegaran otak yang serius.”
Pengurus Iran, Carlos Queiroz mendedahkan, pemain berusia 30 tahun itu patah hidung akibat insiden tersebut.
“Menurut maklumat perubatan saya dan pengadil, mereka tidak dapat menghentikan pendarahan pemain itu. Ia sesuatu yang berkaitan dengan hidungnya yang patah.
“Apabila kami bersedia untuk membuat penggantian, dia dapat menghentikan pendarahan, jadi kami fikir dia boleh meneruskannya.
“Tetapi kami mempunyai beberapa tanda bahawa kemungkinan gegaran, ia berlaku. Malangnya seminit kemudian, dia tidak dapat meneruskan permainan akibat gegaran otak yang serius
“Ketika ini dia dalam perjalanan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” kata Queiroz. – AGENSI