GOPENG: Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Gopeng, Cally Ting Zhao Song mengakui teruja dengan sikap lebih mesra yang ditunjukkan oleh pengundi Cina terhadapnya sebagai calon BN semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cally berkata, keadaan itu merupakan perubahan yang agak ketara berbanding sambutan yang diberikan terhadap calon BN dalam pilihan raya sebelum ini.
Katanya, pengundi Cina kini dilihat lebih mesra terhadap beliau sebagai calon BN, walaupun perubahan itu tidak terlalu ketara.
“Saya dapati mereka bersikap lebih ramah terhadap calon BN pada PRU kali ini,sebab pada PRU lepas apabila kita cuba mendampingi mereka, feedback tidak begitu mesra tapi kali ini mereka sudah sudi berjabat tangan, mereka sudi menerima flyers dan mereka tengok.
“Keseluruhannya respons mereka sangat positif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, apa yang menggembirakan ialah beliau sudah dikenali oleh sebahagian besar masyarakat dan pengundi di Parlimen Gopeng.
Beliau berkata, ini disebabkan beliau dan parti komponen BN iaitu UMNO, MIC dan Friends of BN sudah membantu rakyat di sini sejak empat tahun lalu.
“Semasa berkempen, kami pergi merata tempat dan kami berjumpa orang Cina mereka kata kenal saya.
“Mereka memberikan kata-kata dorongan supaya kami kuat kerja lagi, kempen di banyak tempat jumpa dengan semua orang. Berjumpa pengundi sangat penting sebab itulah final impressions yang kita boleh tinggalkan kepada mereka sebelum mereka mengundi,” katanya.
Sementara itu, mengenai pengundi India, Cally berkata, kumpulan itu memperlihatkan perubahan sokongan kepada BN yang agak ketara.
Katanya, ini disebabkan banyak janji yang telah dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) terhadap komuniti itu tidak ditunaikan.
“Saya rasa komuniti India adalah komuniti yang sangat mengutamakan sikap jujur, sekiranya anda buat janji kena kotakan janji. Mereka tidak akan melepaskan. Di sini saya rasa perubahan sangat-sangat ketara bagi komuniti India,” katanya.
Cally, 32, merupakan Naib Ketua MCA Bahagian Gopeng berdepan saingan daripada tiga calon lawan iaitu Tan Kar Hing (PH), Muhamad Farhan Abdul Rahim (PN) dan G. Balachandran (Warisan) di Parlimen Gopeng.
Selain Cally di Parlimen Gopeng, BN meletakan tiga calon bertanding di kerusi DUN iaitu Datuk Hang Tuah Din (Sungai Rapat), Lee Wai Yin (Simpang Pulai) dan Liew Yee Lin (Teja). – UTUSAN