PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan sewajarnya merapatkan jurang antara kumpulan berpendapatan tinggi dan mereka yang kurang bernasib baik di negara ini.
Ketua Setiausaha Kementeriannya, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, ia penting bagi memastikan tiada pihak terkesan dengan krisis 3C (Covid-19, Climate and Conflict) yang melanda dunia ketika ini.
Beliau berkata, setiap pembangunan perbandaran perlu menawarkan peluang sama rata kepada semua penduduk bagi mendapat akses perkhidmatan asas, tenaga, pengangkutan, perumahan dan kawasan lapang awam.
“Namun, ia juga hendaklah mengurangkan penggunaan sumber serta kesan terhadap alam sekitar,” kataya ketika berucap pada hari Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Malaysia 2022 (SHHS 2022) di sini, hari ini.
Katanya, berdasarkan Laporan Bandar Dunia oleh UN-Habitat, pada tahun 2020, dianggarkan antara 119 juta hingga 124 juta masyarakat dunia terjejas akibat krisis 3C ini.
Noor Azman berkata, pada tahun 2021 pula, berlaku peningkatan di antara 143 juta hingga 163 juta golongan terkesan dan statistik ini dijangka terus meningkat sekali gus memberi impak negatif dari sudut sosio-ekonomi, kesihatan mental dan fizikal sekiranya tiada intervensi dilaksanakan.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menjadikan bandar dan kawasan tempat tinggal di Malaysia bersifat inklusif, berdaya tahan, selamat dan lestari,” katanya.
Katanya, penganjuran SHHS 2022 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penempatan manusia dan hak setiap individu untuk memiliki tempat tinggal yang selamat, kondusif dan berdaya huni.
Pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan KPKT sebagai pengisian sempena SHHS 2022 termasuk Dialog Hari Habitat di Malaysia Urban Forum 2022 (MUF 2022) dan Jalinan Mesra PR1MA bersama Warga Emas dan OKU.
Aktiviti lain termasuk Anugerah National Scroll of Honour For Human Settlements 2022, Pertandingan Photojournalism, Pertandingan Video Pendek peringkat Institusi Pengajian Tinggi.
Selain itu, turut diadakan Pertandingan Debat ala Parlimen Peringkat Sekolah Menengah, Pertandingan Bercerita Peringkat Sekolah Rendah Tahap 2 (Secara Rakaman Video), Aktiviti Beriadah Sambil Plogging di Taman Putra Perdana dan Program Pemerkasaan Pendigitalan Perkhidmatan PBT Kepada Komuniti. – UTUSAN