PETALING JAYA : Status Melaka United dan Sarawak United sama ada bertanding di Liga Super musim depan atau tidak bakal diketahui hari ini.
Keputusan berkenaan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada sidang media yang akan diadakan hari ini.
Dalam pada itu, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berharap keputusan tegas berlandaskan segala peraturan dan undang-undang perlu diambil MFL mengenai rayuan dikemukakan Melaka United dan Sarawak United meskipun ada pihak yang tidak setuju.
Jika benar kedua-dua pasukan tersebut gagal menyerahkan dokumen berkaitan yang diperlukan semasa mengemukakan rayuan maka hukuman terdahulu yang diputuskan iaitu tidak dibenarkan beraksi musim depan perlulah kekal.

Namun jika sebaliknya segala dokumen yang diserahkan lengkap mengikut kemahuan ‘First Instance Body (FIB) maka tidak mustahil Melaka United dan Sarawak United beraksi musim 2023.
“Hak untuk menggantung atau menerima keputusan rayuan kin terletak ditangan MFL berdasarkan segala dokumen yang dikemukakan pasukan ketika membuat rayuan.
“MFL telah memberi pertimbangan dan ruang buat pasukan mengemukakan rayuan, bagi saya jika keputusan pengantunggan itu kekal ia perlu dijadikan pengajaran buat pasukan-pasukan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tegasnya lagi, keputusan yang diambil ini juga boleh dijadikan sebagai penambahbaikan buat semua pasukan agar perkara yang sama tidak berulang.
“Jika sebelum ini sering ditabur dengan janji-janji namun bila tiba masanya gagal dilaksanakan menyebabkan karier pemain bola sepak itu terumbang ambing.
“Bagi pasukan pula mereka perlu melihat perkara ini secara serius khususnya dari segi kewangan agar tiada masalah timbul dikemudian hari.Jangan mempermainkan periuk nasi pemain-pemain,” jelasnya.

Melaka United FC dan Sarawak United FC pada 12 Oktober lalu telah dikenakan hukuman tidak diberikan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2023 ekoran masalah kewangan yang melanda pasukan terbabit.
Bagaimanapun kedua-dua pasukan diberikan peluang mengemukakan rayuan sehingga 19 Oktober lalu dengan menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan diperlukan.
MFL mengesahkan telah menerima rayuan dan akan membuat keputusan untuk mengekalkan hukuman tersebut atau sebaliknya.- UTUSAN