PUTRAJAYA: Delegasi Malaysia ke acara forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bangkok, Thailand esok akan diterajui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali sebagai wakil khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui kenyataan mengesahkan perkara itu dan beliau dijadualkan bakal menyertai sesi Pemukiman Pemimpin APEC serta sesi Dialog Tidak Rasmi mengenai Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan.
Tidak ketinggalan, beliau juga menghadiri Dialog Bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Permaisuri Sirikit di Bangkok sehingga Sabtu.
Utusan Malaysia pada Ahad lalu melaporkan kemungkinan besar bahawa Ismail Sabri tidak dapat menyertai program tahunan tersebut kerana ada komitmen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Forum dianggotai 21 negara lingkaran Lautan Pasifik itu mula diperkenalkan pada 1989 lalu dengan Australia menjadi tuan rumah pertama, manakala sekretariatnya berada di Singapura.
Malaysia pernah dipilih sebagai hos sebanyak dua kali iaitu pada 1998 dan kemudian pada 2020 yang dilakukan secara persidangan video susulan pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, kenyataan kementerian itu berkata, semua pemimpin akan turut menghadap Ketua Negara Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn Phra Bajiraklaochaoyuhua atau Rama X dan pada akhir mesyuarat kelak, para pemimpin yang hadir dijangka mengeluarkan Deklarasi Bersama APEC 2022 seterusnya mengesahkan dokumen Matlamat Bangkok.’
Pernyataan berkenaan merujuk kepada model ekonomi ‘bio-circular-green’ yang merencana hala tuju rantau Asia Pasifik ke arah proses pembangunan bersifat lebih mampan dan inklusif.
Penglibatan berterusan Malaysia dalam APEC ujar kementerian itu, mencerminkan komitmen jitu negara ini bagi memacu objektif teras forum tersebut kepada usaha kesejahteraan sejagat terutamanya dalam agenda bersama bagi mencapai pembangunan ekonomi, perdagangan dan pelaburan mampan ke arah kemakmuran rantau Asia Pasifik pasca pandemik. – UTUSAN