PETALING JAYA: Hukuman terhadap Melaka United dan Sarawak United kekal untuk tidak diberikan lesen kebangsaan selepas gagal dalam proses rayuan.
Terdahulu, kedua-dua pasukan tersebut gagal mendapatkan lesen kebangsaan selepas permohonan mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2022.
Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), telahpun bermesyuarat dan membuat keputusan bahawa rayuan kelab Liga Super Melaka United FC (MUFC) dan Sarawak United FC (SUFC) untuk memohon Lesen Kebangsaan ditolak.

Keputusan itu diumumkan kepada pasukan pada hari ini oleh Mohamad Yasin Abdullah melalui pemakluman rasmi sekali gus menyaksikan MUFC dan SUFC tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super 2023.
AB telah mempertimbangkan rayuan MUFC dan SUFC berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2022 pada 12 Oktober 2022 selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022.-UTUSAN