ALOR GAJAH: Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berdepan saingan empat penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka itu ditentang calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid; calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Uthman dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Handrawirawan Abu Bakar.
Mas Ermieyati dan Handrawirawan tiba di Pusat Penamaan Calon Kompleks Sukan Masjid Tanah dekat sini pukul 9.00 pagi diikuti Abdul Hakim yang tiba lima minit kemudian dan Mutalib pada 9.10 pagi.
Kesemua calon mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tempoh penamaan tamat tepat pukul 10.00 pagi.
Tiada calon Bebas mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding di kerusi tersebut.
Pengumuman rasmi calon yang bertanding dibuat Pegawai Pilihan Raya, Saifuddin Abdul Karim.
Proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden atau provokasi melampau daripada para penyokong, meskipun penyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) berkumpul bersebelahan.
Untuk rekod, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket BN dalam pilihan raya sebelum ini berjaya mempertahankan Parlimen Masjid Tanah selama dua penggal sebelum bertindak keluar UMNO dan menyertai Bersatu. – UTUSAN