LARUT: Barisan Nasional (BN) percaya pengundi di Larut akan memilih logo parti berbanding calon yang bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calon BN Parlimen Larut, Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud berkata, beliau percaya pengundi akan memilih BN apatah lagi Larut merupakan kubu parti itu sejak sekian lama.
Menurutnya, logo BN iaitu dacing sentiasa dekat di hati pengundi Larut.
“Pengundi nak pilih parti atau calon, itu bergantung pada keadaan di sesuatu kawasan tapi di Larut ini sudah lama menjadi kubu kuat BN, logo dacing sentiasa dekat di hati pengundi di sini.
“Saya percaya pengundi Larut masih menyandarkan masa depan mereka kepada parti berbanding mengutamakan calon kerana partilah yang memperjuangkan nasib rakyat selama 60 tahun.
“Parti itu ialah BN yang akan memperjuangkan nasib anak bangsa untuk masa depan, jadi andaian pengundi memilih personaliti calon kurang tepat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menerima borang penyertaan sebagai ahli UMNO daripada 60 bekas ahli Pas yang menyertai BN di Sungai Bayor di sini semalam.
Menurutnya, Parlimen Larut mempunyai kira-kira 60,000 pengundi dan 20,000 daripadanya merupakan pengundi baharu dan 6,000 daripadanya merupakan pengundi berusia bawah 25 tahun.
Katanya, golongan itu mungkin tidak ada masa untuk memikirkan rekod pencapaian pemimpin tetapi lebih memikirkan apa yang hendak ditawarkan untuk masa depan mereka.
“Jadi parti yang bertanding mestilah memberi satu tawaran yang menarik dalam memperkasakan masa depan mereka.
“Mereka akan memikirkan soal pendidikan, pekerjaan, kehidupan yang selesa, parti yang mampu melaksanakan elemen-elemen itu akan menjadi pilihan pengundi,” katanya. – UTUSAN