Khutbah Jumaat ingatkan pemimpin tunai janji

Khutbah Jumaat ingatkan pemimpin tunai janji

KHUTBAH Jumaat berpesan agar para pemimpin dipilih pada PRU15 esok melaksanakan tanggungjawab masing-masing. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Khutbah Jumaat di Masjid Zahir, di sini hari ini berpesan agar para pemimpin yang akan dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah dan dedikasi.

Imam dan Khatib Masjid Zahir, Syeikh Khairul Firdaus Abu Bakar berkata, mereka juga perlu sedaya mungkin memenuhi janji-janji yang dibuat dan meneruskan segala usaha murni dilaksanakan pemimpin sebelum ini agar sentiasa memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat dan negara.

“Hari ini dengan rasa rendah diri saya ingin mengingatkan bahawa berpolitik merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kepada umat Islam. Oleh itu, sebagai muslim kita hendaklah mengambil bahagian atau sekurang-kurangnya menjadi pemilih untuk membentuk kerajaan. 

“Penglibatan umat Islam dalam bidang politik amat perlu dalam memilih pemimpin yang benar-benar layak dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya,” katanya ketika menyampaikan khutbah bertajuk Hak dan Tanggungjawab.

Syeikh Khairul Firdaus berkata, semua pihak perlu sedar ketika berkempen sama ada secara fizikal atau alam maya kerana kadang-kala dalam keghairahannya akan melonggarkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, perkara itu berlaku kerana kelalaian disebabkan terlalu asyik berkempen hingga terpesong ke dalam kancah kutuk-mengutuk, hina-menghina, aib-mengaib dan lebih dahsyat lagi fitnah-memfitnah. 

“Sedangkan semua ini dilarang oleh Allah SWT sebagaimana ditegaskan-Nya melalui firman-Nya dalam surah al-Hujuraat ayat 12. Apa yang diharapkan agar semua pihak hendaklah menyampaikan berita yang benar dan bertanggungjawab bagi setiap fakta yang disampaikan.

“Manakala bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya hendaklah sentiasa tabayyun atau memastikan kebenarannya sebelum menerima dan menyebarkannya. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 6,” pesannya.

Kata Syeikh Khairul Firdaus, tingkah laku dan percakapan termasuk bahasa yang digunakan terutama dalam media sosial perlu dijaga kerana Islam mendidik umatnya berbahasa lunak dalam apa keadaan sekali pun. 

“Tidak salah menyuarakan pendapat, cadangan dan idea, namun biarlah mengikut etika dan saling menghormati antara satu sama lain. Di negara kita, sensitiviti dan hormat menghormati antara kaum perlu diberi perhatian. Biarlah selepas PRU-15 ini, kita semua menjadi seperti kata pepatah ‘Biduk berlalu kiambang bertaut’. 

“Marilah kita kembali menjalin mahabbah, mengikat semula ikatan ukhuwah, menyulam kembali hati yang retak dan resah kerana amarah, menyiram kasih sayang kerana cinta kepada Islam dan ummah. Jangan kerana seketika berlainan fikrah kita meracuni kasih sayang yang telah sekian lama kita bina,” katanya.

Justeru mengakhiri khutbah pertama, beliau mengajak jemaah dan seluruh masyarakat berdoa bersama-sama agar proses pilihan raya kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang rusuhan, kekacauan dan pergaduhan demi  keamanan dan kesejahteraan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya