SELANG beberapa bulan, ada sahaja model kenderaan baharu di pasaran sama ada yang mewah mahu pun mampu milik. Situasi itu sedikit sebanyak mendorong individu untuk bertukar kereta.
Apatah lagi jika kenderaan sedia ada sudah uzur atau sering rosak.
Namun, dalam situasi inflasi pada masa ini, timbul kerisauan untuk menambah beban hutang.
Penulis kewangan, Mohd. Zulkifli Shafie berkongsi panduan buat mereka yang merancang membeli kereta.
Kos atau keperluan?
* Sebaik sahaja membeli kereta, kita hilang kemampuan menyimpan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan. Selain perlu membayar kos beli, kita juga perlu menanggung kos bela.
* Kos bela termasuk cukai jalan dan insuran, selenggara dan baiki kenderaan, parkir, petrol, tol, di samping saman kesalahan trafik.
* Jadi sebelum membeli, pertimbangkan sejauh mana keperluan memiliki kereta dan apa alternatif lain yang lebih menjimatkan dalam jangka panjang. Umpamanya menaiki Grab, pengangkutan awam atau sewa kenderaan sahaja jika keperluan itu bersifat bermusim seperti digunakan sekadar untuk balik kampung atau menyambut perayaan.
Pertimbang kemampuan
* Kelulusan pinjaman bank bukan bermaksud anda memiliki kemampuan kewangan. Formula bank berisiko menyebabkan kita terperangkap dengan masalah hutang.
* Gunakan panduan berikut iaitu harga kereta tidak lebih gaji setahun dan ansuran tidak lebih 15 peratus daripada gaji bersih agar kita masih mampu menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji bersih.
* Pastikan tempoh pinjaman tidak lebih lima tahun kerana kajian menunjukkan purata pengguna kereta di Malaysia menukar kereta baharu setiap lima tahun sekali.
* Kalau pinjaman melebihi tempoh itu, sentiasa tetapkan matlamat untuk melangsaikan hutang dalam masa lima tahun.
Kereta baharu atau terpakai?
* Beli kereta baharu, kecuali bagi mereka yang arif tentang hal kereta.
* Apabila kita tidak faham tentang kenderaan, risiko ditipu oleh bengkel sangat tinggi.
* Beli kereta terpakai nampak menjimatkan, tetapi kalau tiada kefahaman tentang baik pulih kereta, kita akan kehabisan duit dan masa yang banyak.
* Kereta yang bermasalah boleh menggangu banyak urusan kerja dan aktiviti harian.