IPOH: Jepun terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menjinakkan Mesir 1-0 dalam perlawanan pembukaan Piala Sultan Azlan Shah ke-29 di Stadium Azlan Shah, sebentar tadi.
Jangkaan pasukan negara Matahari Terbit itu akan menang mudah meleset apabila Mesir berjaya memberi saingan sepanjang perlawanan.
Jepun membuka jaringan melalui Koji Yamasaki pada minit ke-16 tetapi menghadapi kesukaran menambah jaringan selepas itu.
Ketangkasan penjaga gawang Mesir, Gamal Mohamed Sayed Mohamed nyata menjadi penghalang kejayaan besar Jepun.
Gamal yang dinobatkan Pemain Terbaik perlawanan, berjaya menyelamat pukulan penalti pada minit ke-38 untuk menyemarak semangat juang rakan sepasukan.
Ketua jurulatih Jepun, Akira Takahashi nyata kecewa dengan corak anak buahnya.
“Kami tidak bermain baik, apapun saya gembira kami berjaya mengutip mata penuh dalam perlawanan pertama,”katanya.
Sementara jurulatih Mesir, Tahir Zaman memuji persembahan anak buah biarpun tewas.
“Kami akan bangkit dalam perlawanan kedua menentang Afrika Selatan,”katanya. – UTUSAN ONLINE