Piala Malaysia: JDT menang, akhiri perlawanan dengan 10 pemain

Piala Malaysia: JDT menang, akhiri perlawanan dengan 10 pemain

ARIF Aiman muncul peledak tunggal pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara JDT berdepan Sabah di Stadium Likas, malam ini.-IHSAN JDT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menjinakkan Sabah FC 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, sebentar tadi.

Turun sebagai pasukan pilihan, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu menguji benteng pertahanan tuan rumah pada minit keempat menerusi percubaan deras penyerang sensasi mereka Bergson da Silva namun bola sekadar melintasi palang gol.

Usaha JDT mencari gol pembukaan akhir berjaya menerusi ledakan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-34 selepas rembatan deras kaki kirinya daripada luar kotak penalti terkena Rawilson Batuil sebelum bola menerjah jaring.

Biarpun beberapa serangan dilakukan oleh kedua-dua pasukan namun kedudukan kekal sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua Sabah dilihat mula menemui rentak permainan namun terus buntu menembusi benteng JDT.

Sebaliknya, pasukan pelawat berpeluang menggandakan jaringan pada minit ke-58 namun sepakan penalti Bergson berjaya dinafikan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

Kecemerlangan Damien menyelamatkan sepakan tersebut nyata menyuntik semangat pemain Sabah yang mula melancarkan beberapa gerakan menyerang.

Peluang terbaik Sabah untuk menjaringkan gol penyamaan hadir pada minit ke-64 namun sepakan bola mati oleh Saddil Ramadani berjaya ditepis keluar oleh Farizal Marlias.

Tekanan diberikan Sabah ke atas pertahanan JDT menyaksikan JDT terpaksa bermain 10 pemain apabila pertahanan tengahnya, Feroz Baharudin dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-73 sekali gus diarah keluar padang.

Feroz sebelum itu, telah mengutip kad kuning pertama pada minit ke-53 susulan terjahan keras ke atas Amri Yahyah.

Bagaimanapun, peluang menentang 10 pemain gagal dimanfaatkan Sabah untuk menyaksikan kedudukan gol kekal.

Pengendali Sabah Datuk Ong Kim Swee mengakui kualiti dimiliki pemain JDT menyukarkan anak buahnya namun beliau tetap memuji semangat juang ditunjukkan mereka.

“JDT pasukan yang cukup baik tetapi pemain Sabah telah menunjukkan semangat juang yang tinggi.

“Kita tewas dengan jaringan pada babak pertama yang sepatutnya boleh dielakkan. Apapun kita masih ada 90 minit di tempat lawan dan saya harap pemain akan kekal disiplin pada separuh akhir kedua pada 20 November ini,” katanya selepas perlawanan.

Sabah akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada 20 November ini bagi separuh akhir kedua Piala Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya